SAYA mula 'kenal' sosok tokoh ini sewaktu di bangku sekolah menengah. Setiap kali dia muncul di televisyen saya seolah ternanti-nanti dia mengutarakan ayat: "Pada pandangan saya..." dan selesai dia menyatakan demikian, saya akan tersenyum-simpul.

Dalam hati, saya ketawa. Suara kecil saya menyatakan "he he he... macamlah dia boleh nampak." Sesungguhnya tiada sedikit pun niat untuk memperkecilkan beliau. Sebaliknya sekadar menjadikan ayat yang diucapkannya itu bahan lelucon untuk diri sendiri.

Semakin hari usia saya semakin meningkat. Pensyarah buta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernama Profesor Datuk Dr Ismail Md Salleh yang sering muncul di kaca TV itu juga saya lihat semakin terkenal.

Malah saya semakin kagum kepadanya setelah mendengar satu temu bual di TV yang menceritakan kisah hidup beliau.

Ismail Salleh mula hilang deria penglihatan sepenuhnya ketika berusia 13 tahun. Namun, kecacatan itu bukan pematah semangat dan menjadikannya lemah. Sebaliknya 'kegelapan' dijadikannya tiket untuk mengatur langkah berada di puncak menara gading dan seterusnya mencipta nama di persada dunia.

Ismail, 61, beruntung, kerana mempunyai abang, Zakaria Salleh yang bertindak sebagai 'mata', penjaga, pembantu peribadi dan pemandu kepadanya sejak kecil. Saya pernah membaca dan mendengar di media massa tentang 'perjuangan' Zakaria, yang menjadi 'tukang baca', 'tukang tulis' dan segala 'tukang' kepada Ismail sepanjang insan kurang upaya ini menuntut ilmu dari peringkat sekolah hingga ke universiti.

Saya juga meluahkan (tetapi sekadar di dalam hati), sepatutnya Zakari turut diberi ijazah atau apa saja kelulusan yang dimiliki adiknya, kerana dialah 'sumber ilmu' kepada Profesor Datuk Dr Ismail Salleh. Kembali kepada ikon istimewa itu. Ismail dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 September 1947. Sebagai seorang anak yang dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan, keazaman dan kecekalan beliau untuk berjaya menjadi aspirasi ramai anggota masyarakat, terutama golongan kurang upaya.

Beliau antara orang yang layak disifatkan sebagai 'Towering Malays'.
Mendapatkan Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Politik dari Universiti New York pada 1973 sebelum menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi di Universiti Illinois, Amerika Syarikat pada 1974 dan 1977.

Guiness Book of Record mencatatkan beliau sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat Doktor Falsafah. Dr Ismail sering memberikan pendapat mengenai ekonomi dan kedudukan sosioekonomi dan politik orang Melayu, terutama pendidikan dan program pembangunan kemiskinan dalam pelbagai forum, termasuk siaran televisyen. Memulakan kerjaya pertama sebagai pensyarah ekonomi di Jabatan Penganalisis Ekonomi dan Dasar Awam di Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejurus menamatkan pengajian.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Jabatan pada 1981.

Pernah memegang pelbagai jawatan dalam bidang akademik termasuklah sebagai Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech (IUCTT) dan Presiden Persatuan Kebangsaan Kolej Swasta Bumiputera.

Dalam bidang ekonomi, beliau diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Ekonomi, Pusat Perniagaan Malaysia serta Ahli Majlis Perunding Ekonomi Negara II (MAPEN II) - Jawatankuasa Kerja bagi Penyusunan Semula Masyarakat.

Pada 2001, dianugerahkan doktor kesusasteraan Universiti Antarabangsa Irish oleh Kesatuan Eropah bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada negara ini dan juga komuniti antarabangsa.
Allahyarham aktif membantu golongan senasib dengannya. Dilantik sebagai Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) pada 2007 dan pernah memegang jawatan Pengerusi, Majlis Antarabangsa Asia Tenggara bagi Pendidikan Untuk Orang Cacat Penglihatan pada 1999.
Juga pernah diberi penghormatan sebagai Ketua Kontinjen negara semasa Sukan Timur Jauh dan Pasifik Selatan untuk Orang Kurang Upaya (Fespic) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2006.

Bapa kepada enam cahaya mata itu pernah berkata tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech tidak menghalangnya untuk terus memperjuangkan peningkatan akses terhadap infrastruktur OKU yang pada pendapatnya masih jauh ketinggalan berbanding negara lain di dunia.

Pada 18 Disember 2007, Dr Ismail terus melakar sejarah apabila dilantik sebagai Senator dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) pertama. Apa pun, setiap yang hidup memang sudah dijanjikan dengan sebuah kematian.

Pada 27 Ogos baru lalu pakar ekonomi itu meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura. Ismail ke China kerana menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech.

Isteri Allahyarham, Datin Hasnah Wahab yang turut berada dalam penerbangan itu menemani suaminya mendapati Dr Ismail yang sedang tidur di kerusi sebelahnya tiba-tiba terlintuk kepalanya ke atas bahunya.
"Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa dan bila saya pegang, tangannya sudah sejuk," kata Hasnah.

Menurut cerita Hasnah, suaminya meninggal dunia dalam kapal terbang kira-kira 2.30 pagi iaitu kira-kira sejam suku sebelum pesawat itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi. Setelah siap semua urusan berkaitan, jenazah Ismail kemudian disembahyangkan oleh Imam Hasan Al-Attas bersama pegawai kedutaan dan jemaah masjid di Pulau Singa itu.

Jenazah kemudian diterbangkan dari Lapangan Terbang Senai, Johor untuk diterbangkan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia ke Lapangan Terbang Subang, dibawa ke Kajang, Selangor dan dikebumikan di situ pada jam 10.30 malam.

Posted by Mohd Hilmi bin Ibrahim on Monday, August 31, 2009
categories: edit post

4 comments

  1. Raj Says:
  2. Salam, saya pelajar IPG. Saya nak tahu lebih tentang Dr. Ismail utk research saya. Blh saya contact Encik?

     
  3. Raj Says:
  4. boleh mehh

     
  5. Muhammad Says:
  6. boleh ke kalau saya nak hubungi abang dia mcam mana dia membantu arwah sehingga di peringkat phd

     
  7. Unknown Says:
  8. yeet

     

Post a Comment