Ini adalah Kertas Kerja yang saya tulis dan ambil dari tulisan ilmiah beberapa buku semasa Bengkel Kemantapan Ahli Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam yang disampaikan oleh saudara Norhisham bin Abdullah

Semoga anda mendapat manfaat

PENGURUSAN ORGANISASI

1.0 BAHAGIAN PERTAMA

1.1 PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN

Pendahuluan

Istilah pemimpin yang sedia didengari memang merupakan satu elemen yang paling penting di dalam sesebuah organisasi. Kepimpinan merupakan satu amanah, dan wajib bagi peminpin menjalankan amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Kepimpinan kebiasaanya mempunyai kualiti diri yang dapat dicontohi. Harapan kepada pemimpin adalah supaya mereka dapat mencari kekuatan perlindungan dan inspirasi.
Kualiti kepimpinan yang baik akan menjadikan mereka dihormati oleh orang bawahan. Kualiti kepimpinan yang diperlukan termasuklah jujur, bersikap adil, sentiasa berkelakuan baik, adil dan saksama, mematuhi janji, menepati masa, tegas dan konsisten dalam mengambil tindakan dan melahirkan pendapat.

Teras etika kerja Profesional

Ciri-ciri yang dinyatakan dibawah wajar dijadikan sebagai panduan dalam melahirkan pemimpin yang baik

1. Cemerlang

Orang yang bekerja dengan cemerlang tidak akan bekerja dengan sambil lewa.Kerja dan tugas seharian tidak dianggap sebagai bebanan mahupun sebagai rutin yang memenatkan. Kerja yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak sekadar melepaskan batuk ditangga.

Prestasi kerja sentiasa tinggi. Jika dia menemui kesulitan semasa melaksanakan tugasnya, dia terus berusaha mencari jalan mengatasi dan menyelesaikan masalah itu. Dia tidak mudah untuk patah hati dan mengaku kalah.

2. Berinisiatif

Pengikut yang mempunyai sikap inisiatif adalah mereka yang melakukan usaha sebelum dipaksa oleh keadaan ataupun diarah melakukannya. Setiap kerja yang perlu dilakukan dengan tekun dan teliti bagi mengelakkan berlakunya kesilapan.

Kesilapan melakukan kerja memanglah dapat dimaafkan tetapi apabila dilakukan dilakukan berulang kali. Ia dapat menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain. Setiap individu mempunyai kebolehan tersendiri dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Oleh itu mereka yang beretika dalam kerjanya sentiasa giat berusaha mengembangkan organisasi mereka bekerja.

3. Niat

Orang yang tidak mempunyai niat yang betul semasa bekerja melakukan kerja dengan sambil lewa. Dia tidak mempunyai komitmen pada kerja yang dilakukannya. Ramai pemimpin yang dilantik tetapi tidak faham ataupun mengerti kenapa mereka dilantik.

4. Bertanggungjawab pada Masyarakat

Etika pemimpin yang beretika turut menekankan tanggungjwab kepada masyarakat. Tanggungjwab pada masyarakat penting kerana bentuk pemimpin akan mencerminkan keadaan masyarkat.

5. Amanah dalam kerja

Sifat amanah adalah teras keharmonian dan kejayaan institusi masyarakat ataupun kepimpinan. Apabila pemimpin tidak mempunyai sifat amanah segala pekerjaan yang tidak berjalan dengan lancar dan dapat membawa kepada kehancuran organiasasi atau institusi. Sifat amanah dalam kerja yang ditugaskan menghasilkan nilai-nilai keperibadian ahli yang baik. Peranan pemimpin dalam membanteras gejala tidak amanah dalam kerja. Orang bawahan seharusnya patuh dengan arahan yang diberikan dalam melaksanakan tugas itu dengan baik.

6. Komited dengan kerja

Kunci kejayaan pemimpin adalah komited dengan kerja yang diceburi. Komited yang dimaksudkan ialah menumpukan perhatian dan bersungguh-sungguh pada apa yang dilakukan. Sifat komited ini dapat menghasilkan kearah mutu kerja atau perkhidmatan yang cemarlang.

7. Akhlak

Akhlak adalah teras pembentukan etika kerja yang prifesioanal. Akhlak yang mulia yang dimiliki oleh pekerja mahupun ketua menjadi lambang ketinggian peribadi dan kualiti individu tersebut.

8. Jujur

Dalam melakukan pekerjan, sifat jujur atau benar dapat membentuk hubungan yang sihat sesama orang bawahan. Sifat jujur dan benar dapat membendung segala perasaan syak wasangka dan tipu daya ataupun dusta.

9. Bersyrukur

Bersyukur adalah susulan kepada kejayaan-kejayaan dan keuntungan yang diperoleh hasil sesuatu pekerjaan. Harus diingat keuntungan yang diperoleh adalah nikmat kurniaan Allah. Kewajipan bersyukur dituntut oleh Allah.




10. Pengurusan masa

Dalam menjalani sesuatu pekerjaan, pengurusan masa perlu dititikberatkan kerana salah satu faktor kejayaan dalam pekerjaan adalah pengurusan masa yang berkesan.Pengurusan masa yang cekap dapat membantu meringankan beban tugas disamping memudahkan segala urusan.

11. Muhasabah

Muhasabah bermaksud menilai diri, menghitung kebaikan dan keburukan yang kita lakukan. Kita perlu menghisab diri pada waktu malam tentang apa yang telah kita lakukan terutamanya dalam pekerjaan. Kita perlu menghisab diri di hujung minggu tentang apa yang telah kita laksanakan sepanjang minggu. Seterusnya kita perlu menghisab diri di akhir tahun bagi memastikan apa yang telah apa yang kita lakukan (untuk agama, keluarga, bangsa dan Negara)

1.2 KEPIMPINAN STRATEGIK

Istilah perancangan dalam pengurusan merujuk kepada proses persediaan menggunanakan sumber-sumber yang ada yamh ada dengan cara yang lebih optimum yang cekap suapaya matlamat organisasi dapat dicapai. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah:

1. Menetapkan keutamaan dalam tugasan.
2. Memastikan tugasan yang diagihkan dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan
3. Menentukan tugasan yang perlu difokuskan bagi diselesaikan dalam masa yang ditetapkan.
4. Tugasan perlu dilakukan dengan kerjasama daripada orang bawahan
5. Memastikan matlamat organisasi jelas.


Ciri-ciri perbezaan perancangan Strategik dan jangka pendek

Ciri Perancangan stratrgik Perancangan Jangka Pendek
Jangka Masa Bersifat jangka panjang(3-5 tahun) Bersifat jangka pendek(1 tahun)
Pihak bertanggungjawab Digerakkan atau diarahkan oleh pihak atasan Penekanan oleh pihak bawahan
Sifat Kurang terperinci dari segi penerangan Lebih terperinci dan secara umumnya semua pihak terlibat
Fokus Fokus kepada keperluan, ramalan dan analisis ,masa hadapan Fokus kepada analisis isu-isu semasa


Pernyataaan Misi

Misi adalah gambaran yang ringkas mengenai pandangan organisasi dari segi tujuan dan nilainya.

Langkah Perancangan Strategik

Proses perancangan strategik mempunyai beberapa langkah penting yang perlu diambil. Langkah-langkah yang diambil dalam merancang strategi bermula dengan menentukan misi organisasi. Ini adalah kerana proses perancangan perlu bagi menentukan arah tindakan yang diambil bagi memastikan misi dan matlamat organisasi dapat direalisasikan dan bukan hanya berada di peringkat perancangan.





Oleh itu dalam proses perancangan strategik beberapa perkara perlu diberi perhatian:

Analisis persekitaran (dalaman dan luaran)

Analisis persekitaran dalaman adalah proses dimana organisasi cuba menganalisa kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh organisasi. Manakala, analisis luaran pula merujuk kepada proses organisasi menganalisa peluang dan ancaman yang wujud daripada persekitaran luaran organisasi itu. Dalam membentuk misi, objektif dan strategi organisasi, persekitaran organisasi perlu dianalisa terlebih dahulu.

Persekitaran organisasi merujuk kepada dalaman dan luaran. Persekitaran luaran berkait dengan aspek yang berada diluar organisasi seperti perubahan demografi, perubahan saiz, kompososi kumpulan umur, jangkaan akreditasi dan perubahan aspek ekonomi, pollitik ,teknologi dan sosial.

Kepimpinan : Autoriti dan Kuasa

Autoriti merujuk kepada kewibawaan yang menjadi sifat utama kehidupan sesuatu organisasi kerana ia dapat mengawal segala tindakan ahli didalam organisasi. Autoriti menjadi elemen yang jelas mendasari hubungan antara ahli didalam sesebuah organisasi.Autoriti yang dimilkili oleh seseorang membantu beliau mempengaruhi orang bawahannya untuk melaksanakan tugas yang diarahkan. Hubungan autoriti mempunyai tiga ciri iaitu:


1. Kerelean orang bawahan menjalankan tugas yang diarahkan
2. Pergantungan orang bawahan dalam proses pembuatan keputusan iaitu mereka tidak mekukan tindakan tanpa arahan.
3. Hubungan kuasa yang disahkan oleh norma-norma kumpulan.

Kuasa

Kuasa secara umumnya ialah kebolehan meminta individu melakukan perkara yang dikehendaki mereka melakukannya. Pemimpin mempunyai kuasa dan meminta orang memenuhi arahan mereka. Kuasa dapat digunakan oleh individu, kumpulan atau organisasi. Terdapat lima jenis kuasa yang dikenalpasti iaitu kuasa ganjaran, kuasa memeksa, kuasa sah, kuasa rujukan, dan kuasa pakar.

Pengaruh

Pengaruh dapat ditakrifkan sebagai penggunaan kuasa. Ramai mentakrifkan pengaruh sebagai respon tingkahlaku pada penggunaan kuasa,

Dinamika Organisasi

Dinamika organisasi adalah arah pola perubahan tingkah laku organisasi yang bersifat stabil pada pola tingkah laku stabil yang lain. Dinamika sesebuah organisasi terutamanya wujud disebabkan desakan pada keperluaan perubahan iaitu sistem iklim dalaman yang memerlukan organisasi itu berubah.

Faktor yang mempengaruhi Dinamika organisasi adalah:

1. Perubahan serta merta dan mendadak yang melibatkan bencana seperti gempa bumi, banjir, kebuluran dan sebagainya. Faktor kecemasan ini memerlukan perubahan serta merta.
2. Pendidikan dilihat mampu menyelesaikan apa sahaja masalah. Masyarkat mahukan setiap anggota bijak menghadapi sebarang risiko dan tidak mahu ketinggalan. Pendidikan menjadi sasaran perubahan yang terpenting.
3. Tekanan luar yang dibawa masuk seperti pengimport ternologi baru dan nilai serta penghijrahan penduduk.
4. Pendidkan sepanjang hayat dan dunia tanpa sempadan.
Teori kejayaan Perancangan

1. Membina visi dan misi yang berfokus. Mereka mesti menetukan secara kaloberatif apa yang mahu dicapai dan apakah piawai yang dikehendaki.
2. Mengenal pasti teras norma-norma, nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan yang menghalang kejayaan.
3. Menjalankan upacara, perayaan dan tradisi yang baru yang membawa ahli-ahli komuniti duduk bersama. Penting mengadakan hari ganjaran dan penghargaan bagi mengiktiraf kejayaaan.
4. Memupuk norma tingkah laku yang unik. Norma mengikat kuat hubungan interpersoanal. Tentukan apa yang mengadunkan penghormatan, keprihatianan, pertimbangan, dan sokongan menjadi mercu tanda.

Teori Komitmen

Komitman ialah sikap kesetiaan pada organisasi yang ditunjukkan oleh ahli organisasi berasaskan kepada kepercayyan okjektif, matlamat dan nilai-nilai sama dengan organisasi. Wujud saling percaya, sokongan positif saling pergantungan tidak formal, tanggungjawab bersama, komunikasi terbuka, kuasa autonomi yang tinggi, kepuasan dan berkongsi setia. Komitmen efektif berlaku kerana tiga sebab:

1. Kepercayaan kepada matlamat dan nilai-nilai organisasi
2. Kesanggupan berusaha demi organisasi
3. Keinginan terus kekal sebagai ahli organisasi

PENUTUP

Perancangan yang betul dan tersusun akan menjamin kelancaran dan kekuatan organisasi. Selain itu pergantungan dan keikhlasan kepada Allah SWT adalah pokok utama dalam setiap perancangan dan tindakan yang dibuat.

2.0 BAHAGIAN KEDUA

2.1 KEUTUHAN ORGANISASI

Kesefahaman dan keselarasan

Setiap anggota masyarakat wajib untuk betindak sama agar keselarasan dalam masyarakat terbentuk. Apabila masyarkat menuju kearah yang satu maka perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat dapat dibendung. Oleh itu setiap anggota masyarkat perlu selaras dari aspek:

Menilai amalan lahir dan batin

Amalan lahir adalah amalan yang boleh dlilhat oleh mata. Amalan batin pula ialah amalan hati yang tidak dapat dilihat oleh mata tetapi dapat dirasa dengan adanya dengan hati masing-masing. Amalan-amalan ini mesti difahami dan diselaraskan dalam beramal. Jangan berlaku ada yang mengatakan sesuatu itu baik dan setengah yang lain mengatakan sesuatu itu buruk. Dengan mengelakkkan perbezaan ini perpaduan dapat dibentuk


Method perjuangan

Untuk mencapai satu matlamat, kita wajib memilih dan mentaati satu saja teknik perjuangan disamping alat-alat yang boleh mempercepatkan lagi pencapaiannya. Misalnya kalau kita hendak ke Singapura, maka teknik yang kita pilih ialah menyediakan kenderaan untuk membawa kita di samping alat yang kita gunakan disana. Kenderaan yang mungkin ialah bas, keretapi, kapal terbang dan kapal air. Selain dari kenderaan ini kita bukan saja susah untuk sampai lansung. Atau kalau menaiki jet kerana susahnya hendak mendapat jet dari kapal terbang, kita mungkin tidak lansung tidak sampai. Begitulah bahayanya kesilapan memilih teknik perjuangan. Kita mungkin tidak sampai ke matlamat perjuangan yang diharapkan.

Sesungguhnya metod perjuagan yang kita pegang ialah sebagaimana yang telah dipelopori oleh Rasulullah. Rasulullah S A W adalah contoh ikutan kita. Islam yang diperjuangkan oleh Rasul kita itu adalah Islam yang hendak kita perjuangkan. Sekiranya kita menggunakan teknik dan metod lain dalam memperjuangkan Islam, seolah-olah kita cuba tunjuk lagak lebih pandai dari Rasulullah. Menegakkan kalimah Allah di muka bumi beerti kita membangunkan iman dan taqwa dalam diri manusia.Kita hendak mengubah jiwa dan fikiran masyarakat supaya beriman dan bertaqwa kepada Allah. Maka adalah satu kesilapan sekiranya kita menggunakan cara seperti revolusi untuk mengislamkan masyarakat dan mengajak mereka berjuang menggulingkan pemimpin yang tidak berjiwa dan berfikiran Islam.

Kita tidak boleh memaksa masyarakat supaya berubah kepada cara hidup islam secara mendadak. Kalaupun mungkin kita ada ramai pengikut serta ada kekuatan untuk menggulingkan satu-satu pihak, tetapi dapatkah kita bangunkan Islam ke dalam jiwa dan fikiran orang ramai apabila mereka telah menyerahkan kepada kita. Membangunkan Islam beerti membangunkan akidah, dakwah, akhlak, masyarakat, pendidikan, ekonomi, ukhwah Negara dan sebagainya di atas landasan yang betul.

Rasululah memilih cara yang paling selamat dalam mencapai cita-cita perjuangannya. Semua peringkat masyarakat dihadapinya dengan cara yang penuh hikmah dan bijaksana. Tidak terdapat dalam sejarah Rasulullah melakukan revolusi menumbangkan satu satu sistem masyarakat yang bertentangan dengan syariat Islam. Dalam banyak hal, Rasulullah menggunakan sikap suka bertukar fikiran dan bermesyuarat dengan cara yang sebaiknya dengan tujuan untuk menuntut kebenaran.

Oleh itu metod perjuangan kita bukanlah melalui slogan yang berapi-api, membuat syarahan yang memanaskan kepala, dan mengobarkan semangat, mengadakan perbincangan-perbincangan, forum-forum dan seminar-seminar tanpa amalan.



Menilai Isu Semasa

Apa sahaja isu yamg menyentuh kepentingan umat Islam, hendaklah diterima dam diberi penilaian yang sama, sefaham dan selaras. Kita tidak boleh berbeza dalam menilai dan memberi hukum pada sesuatu isu. Ia memungkinkan tindakan tindakan kita berbeza-beza dan perkara ini sangat berbahaya.

Menilai Ideologi

Banyak sekali idelogi yang tumbuh dalam masyarakat manusia seperti komunias, sosiolis, kapitalis, dan nasionalis. Mereka gigih memperjuangkan ideologi mereka hasil dari perahan akal fikiran mereka yang jelas bertentangan dengan Islam agama yang diwahyukan. Oleh itu kita mesti berhati-hati dan mempunyai satu pandangan terhadap mereka dengan lebih bersedia. Ketahuilah bahawa selain Al-Quran dan Sunnah apa sahaja ideologi adalah sesat dan tertolak

Kita mesti sefaham bahawa hanya Islam bersumberkan Al-Quran, Hadis, Ijmak ulama dan Qias yang benar dan diredhai Allah. Ia menjamin keselamatan manusia di dunia dan akhirat. Selain Islam semuanya palsu. Ideologi perahan otak manusia akan mengucar-kacirkan sesama manusia.

Menilai kawan dan lawan

Kita hendaklah sepakat dalam menilai kawan dan lawan. Janganlah ada diantara kita yang menilai kawan sebagai lawan dan lawan sebagai kawan. Nanti akan berlaku di kalangan kita, anggota yang bermusuh dengan kawan dan berbaik-baik dengan lawan. Ini amatlah merbahaya. Sesiapa sahaja yang membantu dalan usaha menegakkan kalimah Allah adalah kawan kita. Dan sesiapa yang terkeluar dari maksud itu adalah musuh kita. Kita mesti memberi kasih sayang dan simpati kepada kawan, dan hadapilah lawan dengan penuh bijaksana.

Berjuang dan berkorban

Setiap anggota masyarakat hendaklah sama-sama berjuang dan berkorban. Ini tanggungjwab kita. Ini permintaan Allah kepada kita. Dan inilah sumbangan kita kepada Islam. Berjuang dan berkorbanlah dengan apa sahaja yang mampu. Tenaga, wang ringgit, harta , fikiran dan ilmu pengetahuan. Allah melihat pengorbanan kita itu dan akan memberi ganjaran yang setimpal . Oleh itu jangan bimbang untuk berkorban. Jangan kita biar orang lain sahaja yang berkorban dan kita tidak.

Apakah kita tidak iri hati di akhirat nanti apabila sahabat kita diletakkan di singgahsana yang tinggi dikelilingi bidadari kerana pengorbanannya itu. Oleh kerana kita tidak berjuang, hanya berada pada kedudukan yang rendah dan susah. Kalau begitu segeralah berjuang dan berkorban kerana Allah. Mudah-mudahan kita mati sesudah kita puas berjihad fisabilillah.

Itulah beberapa perkara yang dituntut agar setiap anggota masyarakat memahami dan menyakini bersama. Dan selaras dalam bertindak. Tanpa keselarasan dan kesefahaman akan kucar-kacirlah sesebuah masyarakat kerana mempunyai fahaman yang berbeza dan tindakan yang tidak selaras. Masing-masing mengikut pandangan mereka sendiri. Hilanglah perpaduan dan kekuatan di dalam masyarakat. Mana mungkin akan terbentuk tamaddun Ummat.

Sesungguhnya tamadun Islam adalah tamadun yang melambangkan kebesaran Allah S.W.T dan memperlihatkan betapa Al-Quran dan Sunnah itu mendorang penganutnya beriman, berakhlah, berukhuwah, dan berkasih sayang, bersatu padu dan bertolong dalam mengerjakan segala kebajikan dan mencegah segala kemungkaran, membina tamaddun dan kemajuan ummat. Disinilah terletaknya segala rahsia yang menjadikan Islam sebagai payung kepada semua manusia di dunia. Islam membawa keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat.


PENUTUP
Perpaduan yang kukuh ini banyak manfaatnya di peringkat Negara dan sejagat. Perpaduan masyarakat yang kukuh akan membentuk satu kesatuan, kerjasama, bertolong membantu di peringkat pembangunan Negara dam untuk kemaslahatan umat sejagat. Begitulah pentingnya perpaduan dipupuk di peringkat rendah ke peringkat yang lebih global. Perpaduan dalam maysrakat yamg kecil akan menentukan keharmonian masyarakat sejagat.


BIBLIOGRAFI

1. Panduan Pengurusan Strategik, PTS Sdn.Bhd
2. Nilai-nilai dalam Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka

Posted by Mohd Hilmi bin Ibrahim on Friday, April 24, 2009
categories: edit post

0 comments

Post a Comment