Ini adalah Ringkasan Buku Maza Yak'ni yang saya tulis berdasarkan beberapa rujukan yang saya buat

RINGKASAN APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM

KATA-KATA ALUAN


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah SWT. Akhirnya terlaksana juga hasrat saya untuk menulis sebuah ringkasan mudah berkaitan buku Apa Ertinya saya menganut Islam. Ringkasan yang dibuat ini hanya sekadar pemudah cara untuk melancarkan pemahaman pembaca, bukan tujuan untuk menandingi buku asal yang ditulis oleh Dr Fathi Yakan yang mulia.
Saya hanya membuat ringkasan daripada bahagian satu sahaja memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan. Semoga usaha yang dibuat mendapat ganjaran keikhlasan dari Allah SWT

Kemuncup Dalam Perjuangan

Kulayari bahtera perjuangan
Kutempuhi onak persimpangan
Kusisipi cahaya keikhlasan
Dalam menempuh kemuncup perjuangan

Ku menahan segala kesusahan
Perit jerih satu kemestian
Pasrahku, akurku
Menempuh liku-lliku perjuangan

Oh Tuhan! Kepadamu tempatku mengadu
Hamba mu ini dalam kedukaan
Tak tertahan menanggung penderitaan
Bagai ditusuk sembilu bisa

Namun takkan ku berhenti
Mendongak Kebelakang
Menanti saat yang berlanjutan

Akanku terus berjuang
Walau akan terkorban
Kerna janji mu itu satu kemestian

Oh Tuhan! Kepadamu Tempat ku berserah
Mengadu duka, mengubat luka,mencari permata
Keranamu ku tabah menghadapinya
Kerana dia Kemuncup dalam perjuangan 2x


PENGENALAN KEPADA PENGARANG

DR FATHI YAKAN

Dr Fathin Yakan dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli Lubnan. Beliau memperolehi Phd dalam bidang pengajian Islam walaupun pada peringkat BA dan MA beliau belajar dalam bidang kejuteraan. Beliau berkahwin dengan Dr Mona Haddad Yakan dan dikurniakan lima cahaya mata.-

Beliau adalah pelopor gerakan Islam di Lubnan dan dunia Islam bahkan antara pelopor yang mengasaskan gerakan Islam di Lubnan bersama-sama dengan 50 saudaranya yang lain selepas mereka menziarahi Dr Mustafa As-Siba’ie di Syria¹.

Beliau menyumbang tenaga di dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dunia Arab dan telah menyebarkan risalah-risalah dakwah yang berbentuk ideologi untuk menjadi panduan generasi kebangkitan Islam. Kebanyakan tulisan-tulisan beliau telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa.

Antara tulisannya yang terkenal adalah’ Apa Ertinya saya menganut Islam, Masalah dalam dakwah dan pendakwah. Beliau pernah memenangi kerusi dalam pilihanraya Lubnan pada tahun 1992. Walaupun suatu ketika beliau tidak bersetuju dengan pilihanraya kerana tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah.

Apa Ertinya saya menganut Islam ditulis dengan kupasan yang amat ringkas dan mudah difahami.Beliau berbuat demikian kerana, mahu menyedarkan khususnya umat Islam Lubnan untuk kembali berpegang kepada Islam.

“Pemuda yang tiada peribadi, bersikap seperti kera, pemuda yang tidak mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang, pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti kufur dan zalim, pemuda pondan yang tidak ada kebaikan pada mereka, tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.
(Dr Fathi Yakan)

RINGKASAN MUQADDIMAH

Pada bahagian mukaddimah ini, penulis ingin mengaitkan pembaca dengan kelemahan pada masa waktunya menulis dimana, kelemahan umat islam adalah disebabkan mereka telah menghilangkan nilai Islam di dalam diri mereka. Mereka mudah untuk menerima sistem-sistem yang diciptakan oleh sumber-sumber selain Islam.

Pada akhir muqaddimah penulis, menekankan kepada pembaca bahawa, kelemahan yang sedang dialami oleh mereka tidak dapat diisi dengan saduran lain selain Islam. Oleh itu katanya, umat Islam memerlukan sebuah harakah Islamiah untuk mengembalikan semula kepada saduran Islam.

SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SUDUT AKIDAH

Seterusnya, penulis pada bahagian ini cuba untuk mengaitkan perkara asas yang utama iaitu persoalan akidah. Dari cetusan pemikiran Dr Fathi, beliau bukan cuba untuk membahaskan persoalan akidah seperi kebanyakan yang sudah sedia maklumi. Bukan untuk membahaskan sifat tuhan, rasul dan perkara ghaib, tetapi dengan lebih terbuka beliau membawa kepada pemahaman dan kesan akidah itu sendiri.
Pada fasal pertama beliau membawa pembaca kepada alam yang nyata. Beliau mengemukakan alam sekitar yang jelas dirasai oleh manusia sebagai bukti yang jelas untuk mengakui bahawa Allah S.W.T adalah pencipta yang agung.

INTISARI DARI BAB PERTAMA

Iman yang sempurna

Setiap individu Muslim hendaklah berusaha meningkatkan diri mereka ke taraf sekurang-kurangnya Iman ayan. Apakah yang dimaksudkan dengan iman ayan. Diantara sifat-sifat orang yang beriman ayan ialah hatinya sentiasa mengingati Allah dan sentiasa merasa dirinya diawasi oleh Allah. Cetusan daripada iman ini akan menimbulkan dalam hatinya:

a. Rasa malu terhadap Allah
b. Rasa hebat terhadap Allah
c. Rasa redho terhadap Allah
d. Rasa syurkur terhadap Allah
e. Rasa tawakkal terhadap Allah
f. Rasa kasih sayang terhadap Allah
g. Rasa sabar terhadap ujian-ujian dari Allah

Berbagai-bagai lagi sifat mahmudah akan timbul dalam dirinya. Dengan cetusan rasa tersebut di dalam hati seseorang itu, maka seseorang itu akan benar-benar memperoleh kemerdekaan dan kekuatan yang sebenar. Kekuatan dan kemerdekaan yang tidak boleh dikalahkan oleh sebarang kuasa selain dari Allah. Ibarat sebuah kereta, Iman merupakan enjin yang menggerakkan sebuah kereta. Kekutan kereta itu bergantung kepada mutu enjinnya. Kalau baik enjinnya maka tidak ada sebab yang boleh melemahkan perjalanan sesebuah kereta itu melainkan Allah sahaja yang dapat melemahkan. Sebaliknya kalau enjin lemah, maka sesebuah kereta itu akan mudah lemah dalam perjalanannya, walaupun tidak menempuh halangan. Kalau ia menempuh halangan, lagilah ia akan terus mati.

Satu tamadun ummah yang tinggi akan terbina apabila setiap individu dalam masyarakatnya kuat iman, walaupun bilangan anggotanya sedikit. Sebaliknya tamadun yang dibangunkan oleh ahli masyarakat yang lemah iman ataupun tiada iman, lansung akan lemah, sekalipun ahlinya ramai. Untuk mendapatkan Iman, setiap anggota masyarakat tersebut perlulah melalui proses berikut:

a. melawan hawa nafsu yang jahat
b. memperbanyakkan sembahyang sunat
c. berfikir( tentang kebesaran Allah hingga terasa dihati)

Beriman Kepada Allah

Sesungguhnya kita mengetahui, beriktiqad, beriman dan meyakini serta menyaksikan bahwa tidak ada tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tidak ada sekutu baginya. Maknanya ialah tiada yang disembah dengan sebenarnya, tiada yang diperlukan, tiada yang diharapkan melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sekutu baginya. Terbit padanya semua kepercayaan yang berkaitan dengan Allah. Dia adalah tuhan Yang Maha Agung, Raja Yang Besar, tiada tuhan selain dia dan tiada yang disembah melainkan Dia.

Dia adalah Tuhan yang Awal tanpa ada permulaan bagi kewujudan. Maka tiada permulaaan bagi pengawalannya. Dia adalah Tuhan yang Akhir tanpa ada penghujung bagi pengakhirannya. Dia adalah tuhan yang maha Esa dan tungal pada sifat Uluhiyyah dan Rububiyyanya. Maka tiada sekutu baginya, zat yang sentiasa menjadi tumpuan bagi menunaikan segala hajat, kerana kesempurnaaanya kekuasaanya .

Sesungguhnya Allah suci dari lingkkungan oleh masa dan tempat.Maka dia tidak disertai oleh suatu masa dan tidak ditempati oleh suatu tempat, kerana dia yang mencipta masa dan tempat. Dia tidak dilitupi oleh arah seperti depan,belakang, atas, bawah, kiri dan kanan kerana semuanya itu terhasil dari suatu yang baru, sedangkan Allah Maha suci dari yang demikian.

Dia juga Maha suci lagi Maha Tinggi. Dia tidak didatangi oleh perkara-perkara yang baru seperti sakit, berhajat, bergerak, diam, rasa lapar, didatangi syahwat dan perkara-perkara yang seumpamanya yang biasa berlaku kepada makhluk dan menafikan keagungan dan kesempurnaan Ilahi. Allah Maha Suci dari sebarang sifat-sifat makhluk.

Keimanan kepada Allah terbahagi kepada dua bahagian. Bahagin pertama ialah melucutkan sifat- sifat kekurangan dari Zatya, dan satu lagi ialah menetapkan sifat-sifat kesempurnaan bagiNya.

Percaya kepada Rasul

Kami menyaksikan bahawa Muhamammad adalah hamba dan utusanNYa, yang diutuskan kepada golongan jin dan manusia, orang Arab dan Ajam, dengan petunjuk dan agama yang benar bagi menzahirkan kebenarnnya atas agama-agama yang lain walaupun dibenci oleh kaum Musyrikin.

Sesungguhnya Baginda telah menyampaikan risalah,menunaikan Amanah, menasihati Ummah, menghapuskan Ghummah(kesedihan) dan berjihad pada jalan Allah dengan sebanar-benar jihad. Baginda juga adalah Rasul yang Sodiq, lagi amanah, yang dikuatkan dengan petunjuk- petunjuk yang yang benar dan mukjizat yang mencarik adat. Sesungguhnya Allah menfardhukan keatas hambaNya agar membenar baginda mentaati dan mengikutinya.

Beriman kepada Malaikat

Beriman dengan Malaikat ialah meyakini bahawa Malaikat adalah perantara di antara Allah dan Rasulnya kepada manusia dalam urusan penurunan kitab-kitabya, menyampaikan larangan dan perintahnya. Mereka adalah utusan-utusan Allah kepada para Rasulnya. Sesiapa yang tidak beriman dengan meeka, sesungguhnya dia telah mengkufuri kitab Allah dan Rasulnya.

Secara keseluruhannya, mereka adalah satu golongan yang memakmurkan kerajaan Allah keseluruhannya, sehinggakan tidak ada walau sejengkal ruang didalam alam ini melainkan ia dimakmurkan dan dipenuhi oleh mereka dari bawah hingga ke atasnya.

Beriman kepada kitab-kitab

Mengenai keimanan dengan kitab-kitab Allah, wajib beriman dengannya secara umum dan terperinci. Hal ini termasuklah kesemua empat kitab, dan termasuk suhuf. Memadailah beriman dengan kesemua kitab-kitab tersebut dengan beriman dengan Al-Quran al Azim secara terperinci dengan segala surah, ayat, kalimah dan hurufnya.

Beriman dengan Hari Akhirat

Hari Akhirat ialah hari dibangkitkan segala jasad dan roh lalu dihimpunkn di sebuah tempat perhimpunan untuk dihisab, serta beriman dengan kewujudan Mizan, Siratul Mustaqim, Syurga dan Neraka.Tempat persinggahan pertama dari tempat-tempat persinggahan Akhirat ialah kubur yang terdapat didalam soalan munkar dan nakir, fitnah dan nikmat dan azab kubur. Kemudian mereka akan menempuh kebangkitan selepas semua makluk binasa.Setelah itu, mizan, Sirat Mustaqim, telaga Kauthar dan kemudian Syurga atau Neraka. Kemudian bagi orang-orang yang baik akan dapat melihat Allah didalam negeri yang kekal, dan setelah itu syafaat yang mempunya pelbagai jenis. Beriman dengannya semuanya adalah wajib.

Qadha dan Qadar

Keredhaan memiliki hasil yang melimpah berupa keimanan. Orang yang redha hatinya akan terangkat hingga ke tempat yang paling tinggi, yang kemudian mempengaruhi keyakinananya dan semakin mendalam dan kuat mengakar. Pengaruhnya kemudian adalah kejujuran dalam berucap,berbuat dan berperilaku.

Kesempurnaan perhambaaan diri seseorang terletak pada pengalaman terhadap perkara-perkara yang terasa berat mengikut hukum-hukum yang telah ditetapkan atas dirinya. Seandainya dia tidak mengamalkan selain hanya sebahagian darinya sesuai dengan apa yang disukainya, tentulah sikap ini jauh dari citra perhambaan diri seseorang kepada Tuhannya.

Keredhaan terhadap qadha dan qadar bukan beerti redha terhadap qadar yang tidak memberatkan. Sebagai seorang hamba,ia tidak berhak mengatur qadha dan qadar Alllah dengan menerima apa yang ia mahu dan ia tidak menerima apa yang ia tidak mahu. Ini kerana pada dasarnya manusia tidak diberi hak untuk memilih, hak itu milik Allah kerana dia yang lebih mengetahui, lebih bijaksana, lebih agung dan lebih tinggi, kerana Allah S.W.T mengetahui alam ghaib, mengetahui segala rahsia dan mengetahui akibat dari segala perkara.

SAYA WAJIB ISLAM DARI SUDUT IBADAT
Pada bahagian yang kedua pula penulis ingin memberitahu kepada pembaca bahawa pengertian di sebalik konsep ibadat ialah mereka melakukan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T. Hal inilah yang diperlukan didalam kehidupan kita seharian.

Perkara kedua yang ditekankan didalam bab kedua ini ialah pemahaman menyeluruh bahawa konsep ibadat adalah mencakupi segenap ruang kehidupan seharian. Penulis tidah mahu kita hanya terpedaya dengan golongan sekular yang telah memisahkan kehidupan dunia dengan agama. Seharusnya umat islam tidak terpedaya dengan idea-idea seumpama ini, yang dapat merosakkan akidah umat Islam sendiri.
Oleh yang demikian, umat islam wajib mengetahui bahawa seluruh hidup mereka merupakan rangkaian dari tuntutan ibadat sekiranya mereka memanfaatkan dengan kebajikan dan amal kebaktian. Konsep inilah yang kurang dan mungkin tidak diketahui oleh kebanyakkan daripada umat islam. Kelemahan inilah yang menjadi modal kepada musuh-musuh Islam untuk menggugat kedudukan Islam.

Di dalam bab saya mestilah Islam dari segi ibadat penulis telah menggariskan 5 pendekatan yang patut diambil oleh setiap orang yang mendakwa diri mereka sebagai orang Islam. Pertama penulis memekankan konsep ihsan. Ihsan beerti melakukan sesuatu perbuatan itu dengan elok dan baik turutannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.
Kedua kekusyukan, dalam melakukan ibadat kepada Allah S.W.T. Khusyuk adalah tetap dan bersih hati dalam melaksanakan ibadat. Tuntutan khusyuk adalah selari dengan tuntutan melakukan ibadat itu sendiri.

Ketiga, merasai kehadiran Allah S.W.T dalam melakukan ibadat dari penghayatan hati terhadap ibadat yang ditunailan. Hal ini dapat dipupuk dengan rasa keikhlasan ketika permulaan dan ketika pengakhiran ibadat tersebut. Keempat, sentiasa merasa tidak cukup dengan ibadat yang telah dilakukan. Selain itu dia mesti cinta dan mahu untuk melakukan ibadat itu lagi. Tambahan pula amalan-amalan sunat turut dikerjakan juga.

Kelima, sentiasa melazimkan dalam melakukan ibadat-ibadat qiamullail kerana qiamullail dapat menguatkan diri. Keenam dapat melakukan membaca Al-Quran secara berterusan dan dapat merenungi maksud dan pengajaran dari ayat-ayat yang dibaca.
Keenam, menjadikan doa sebagai perantara dengan Allah S.W.T. Pengamalan doa dalam kehidupan seharian akan menjadikan seseorang mempunyai tempat pengantungan dengan Allah tuhan penciptanya.


INTISARI DARIPADA BAB KEDUA

Memperelokkan Niat dan Ikhlas kerana Allah

Berniat baik dan ikhlas kerana Alllah juga termasuk dalam faktor-faktor penyelamat yang terbesar dan terpenting. Ini kerana niat merupakan amalan hati dan hati itu lebih mulia daripada angggota zahir.Maka amalan hati adalah lebih utama daripada amalan anggota badan. Bahkan, kerana niat semata-mata boleh mendatangkan manfaat. Sedangkan amal anggota badan tanpa mempunyai niat tidak ada manfaatnya.

Oleh kerana itu, hendaklah kalian, memperelokkan niat dan ikhlas kerana Allah. Janganlah melakukan sesuatu ketaatan melainkan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah demi mencari dan mendapatkan keredhaan serta menginginkan pahala di Akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah atas ketaatan yang dilakukan hasil dari kurniaaan Allah semata-mata

Jangan mengambil perkara-perkara yang diharuskan hatta pada makanan, minuman dan tidur kecuali dengan tujuan mendapatkan kekuatan ketaatan kepada Allah dan menghasilkan ketaqwaan kepadanyaNya. Dengan melakukan sedemikian, maka perkara-perkara yang harus itu akan diikuti atau bergabung dengan amalan-amalan ketaatan. Sesungguhnya jalan-jalan itu mengikut hukum dari perkara yang dimaksudkan, dan orang yang rugi ialah orang yang rugi dari mempunyai niat yang baik.

Sematkan pada dirimu dalam melalukan amal-amal ketaatan dan perkara-perkara yang diharuskan itu, niat-niat yang banyak dan baik serta dinatijahkan untuk kamu dengan setiap satu niat itu pahala yang sempurna dari kemurahan Allah.

Bagi ketaatan dan kebaikan yang tidak mampu kamu lakukan pada, masa ini, niat dan berazamlah untuk melakukan ketika tertumpu. Ucapkanlah pada diri kamu dengan jujur, keazaman dan nait yang baik.”Sekiranya aku mampu lakukan sudah pasti sudah pasti aku lakukan. Dari niatmu kadangkala kamu mendapat pahala melakukannya.

Ikhlas ialah tujuan seseorang insan dalam melakukan ketaatan dan amalnya semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencapai keredhaanya tanpa ada tujuan yang lain seperti ingin mendapatkan pandangan manusia ataupun pujian daripada mereka atau sebarang keinginan daripada mereka.

Maka orang yang beramal dengan tujuan mencapai taqarrub dan keredaan serta pahala darinya. Maka dia adalah orang yang ikhlas. Orang yang beramal kerana Allah dan demi mendapatkan pandangan manusia maka dia adalah dan demi mendapatkan pandangan manusia maka dia adalah orang yang riya dan amalannya tidak diterima. Manakala orang yang beramal hanya untuk meraih pandangan manusia, jika tidak kerana manusia dia tidak akan beramal, maka orang seperti ini berada dalam bahaya yang amat menakutkan dan diketegorikan sebagai riya orang-orang minafiq.


SAYA MESTILAH ISLAM DARI SUDUT AKHLAK

Pada bab yang ketiga pula Dr Fathi Yakan, menghuraikan pula tentang kepentingan akhlak islam yang baik dan bersumberkan ciri-ciri yang dipamerkan oleh Rasulullah S.W.T.

Sifat yang pertama ialah menjauhi diri daripada perkara-perkara yang dilarang dan perkara-perkara yang menjadi pertikaian diantara yang halal dan yang haram.Kedua memelihara pandangan daripada melihat perkara yang diharamkan dalam Islam. Hal ini adalah kerana pandangan mata terhadap perkara yang diharamkan akan menjerumuskan hati seseorang kepada lembah kehinaan.

Sifat yang seterusnya ialah memelihara lidah daripada berkata sesuatu yang dilarang dalam agama.Sifat yang ketiga yang patut ada pada seseorang Islam ialah bersifat pemalu. Pemalu disini bermaksud malu untuk melakukan maksiat. Kelima ialah bersifat sabar dan lemah lembut didalam pekerjaan terutamanya didalam menyampaikan risalah dakwah. Keenam ialah bersifat benar dan jujur.

Hal ini bermaksud seorang muslim itu, harus membenarkan apa sahaja perkara yang benar dan menafikan perkara yang batil. Seterusnya rendah diri, menjauhi sangka buruk dan mengumpat, bersifat pemurah dan menunjukkan suri tauladan yang baik kepada makhluk Allah yang lain.


INTISARI DARIPADA BAB KETIGA

Menjalin Ukhuwwah yang kuat

Ukhuwwah yang sebenar akan menjadikan manusia sanggup untuk berasa bersalah, sanggup untuk mengaku bersalah serta memohon maaf diatas kesalahannya. Di pihak lain, kerana menginsafi kelemahan kawan maka da bersedia untuk memberi maaf, tiada ungkit mengungkit dan cabar mencabar sesama mereka.

Asas-asas dan cara-cara kearah pembinaan Ukhuwwah yang kuat antara sesama anggota masyarakat diantaranya ialah:

1. Mentaati dan melaksanakan syariat Islam.
2. Mengikuti segala program yang telah diatur oleh masyarkat setempat
3. Mengadakan perimbangan hidup
4. Meminta dan memberi maaf
5. Nasihat menasihati dan tegur menegur
6. Berhibur dan berkelah
7. Memperbanyakkan perjumpaan dan ziarah

Itulah diantara perkara tambahan yang patut dipraktikaan dalam menbina ukhuwah. Dengan merealisasikan pintu kepada Ukhuwwah boleh diwujudkan.Dengannya kesusahan orang lain akan dirasakan sebagai kesusahan sendiri. Begitu juga dengan kesenangan orang lain akan dapat dirasakan sebagai kesenangan sendiri. Dengan perasan ini akan terhapuslah sifat mazmumah, penyakit dan perosak jiwa manusia yang amat berbahaya iaitu hasad dengki dan dendam kesumat. Maka tersemailah benih perpaduan, keamanan dan keharmonian di kalangan anggota masyarakat.

SAYA ISLAM BERSAMA DENGAN KELUARGA SAYA

Penulis didalam bab yang keempat ini telah menganjurkan kepada pembaca dan petugas-petugas Islam agar mereka menumpukan dakwahnya terlebih dahulu kepada ahli. Perkara ini adalah bertepatan dengan strategi yang telah dijalankan oelh Rasulullah S.A.W sewaktu Baginda mula-mula untuk menyampaikan risalah dakwah kepada masyarakat Mekah. Hal ini termasuklah persiapan sebelum dan selepas berumah tangga termasuk tanggungjawab yang besar mendidik anak-anak. Perkara ini saya akan perincikan didalam halaqah yang akan diadakan setiap minggu.

SAYA DAPAT MENGUASAI DIRI SAYA

Pada bab yang kelima pula penulis telah mengajak para pembaca untuk dapat menguasai dirinya dengan melakukan beberapa perkara. Penulis terlebih dahulu membahagikan manusia kepada tiga golongan pertama mereka yang tunduk mengikut hawa nafsu mereka, kedua mereka yang bermujahadah untuk melawan hawa nafsu mereka. Manakala golongan yang ketiga ialah mereka yang pada mulanya mengikut nafsu tetapi setelah mereka sedar akan kesalahan mereka, mereka telah kembali kepada jalan Allah.

Setelah itu penulis telah menyatakan beberapa sendi-sendi(perkara pokok) dalam memerangi nafsu. Pertamanya ialah hati, penulis meminta supaya mempunyai hati yang hidup. Hati yang hidup bermaksud hati yang lembut dan dapat menerima kebenaran yang dibawa oleh Islam.

Pokok yang kedua ialah Aqal. Aqal merupakan satu anugerah tuhan yang amat besar.Akal menjadikan seseorang itu dapat membezakan antara perkara yang benar dan salah. Kedua-dua elemen ini menjadikan manusia atau insan dibezakan daripada haiwan dan malaikat.

Kedua-dua elemen ini boleh menjadi rosak sekiranya seseorang itu telah mengotorkan kedua-duanya dengan melakukan maksiat dan kemungkaran terhadap Allah S.W.T. Pada bahagian akhir bab ini penulis telah menyenaraikan tanda-tanda ketewasan hati yang disebabkan oleh beberapa sebab yang saya akan jelaskan dalam halaqah mingguan saya.

SAYA WAIJB MENGAKUI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH UNTUK ISLAM

Tingkatan terakhir yang wajib difahami ialah bahawa kejayaan yang sebenar adalah untuk Islam. Seseorang yang telah mencapai kesempurnaan Islam yang telah saya sebutkan sebelum ini, namun tidak bercita-cita sekurang-kurang untuk menegakkan syariat Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah bukan lagi sempurna iman dan Islam. Penulis telah menyenaraikan, kelebihan islam dan kekurangan perkara yang dicipta oleh manusia.


PENUTUP
Alhamdulillah, dapat juga saya menyiapkan ringkasan Apa Ertinya Saya Menganut Islam daripada pemahaman pembacaan saya dan tambahan dari pembacaan dari bahan-bahan yang saya telah senaraikan dalam bibliografi. Saya mengharapkan kemaafan sekiranya terdapat sebarang kesalahan dalam penulisan saya ini.

BIBLIOGRAFI

1. Inilah Jalanku, Prof Dr Sayyid Alawi Maliki, Terjemahan Sheikh Fuad Kamaluddin
2. Nilai-nilai Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
3. Rujukan-rujukan lain

Posted by Mohd Hilmi bin Ibrahim on Friday, April 24, 2009
categories: edit post

0 comments

Post a Comment