Beberapa hari yang lepas Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengeluarkan kenyataan bahawa perlunya pemansuhan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bagi mereka yang membaca sejarah, ini bukanlah kali pertama Tun mengeluarkan kenyataan tersebut, malah pada tahun 1988 beliau turut mengeluarkan kenyataan tersebut.

Mari kita berkenalan dengan akta ini. Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.

Semenjak tahun 1960 apabila Akta ini dikuatkuasakan, beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad.

ISA digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia. Dikenali sebagai "keganasan putih" (white terror), ia amat ditakuti dan dibenci, meskipun menjadi satu alat mudah untuk negara membasmi sebarang penentangan dan debat terbuka. Akta ini merupakan satu alatan yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam.(Sumber Wikipedia)

Kalau kita melihat kepada sejarah, ISA sebenarnya diciptakan oleh penjajah. Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk kepada mahkamah.(Sumber Wikipedia)

Secara realitinya ISA memang mengamalkan polisi kuatkuasa yang tidak berperkemamusiaian. Antaranya Seseorang yang ditahan di bawah ISA semasa 60 hari pertama tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan ahli keluarga tidak dibenarkan melawat orang yang ditahan semasa tempoh awal ini. Jika satu perintah penahanan dua tahun ditandatangani, orang yang ditahan akan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting untuk tempoh yang ditetapkan, dan ahli keluarga lazimnya dibenarkan melawat semasa tempoh ini. Jika tidak, orang yang ditahan akan dibebaskan.(Sumber Wikipedia)

Penyeksaan dilaporkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tahanan ISA. Mereka yang pernah ditahan menyatakan bahawa mereka telah didera secara fizikal dan mental yang termasuk salah satu daripada senarai ini: pukulan, penanggalan pakaian, soal siasat 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka. Juga, tahanan diletakkan secara individu dalam sel penjara kecil tanpa cahaya dan udara, dalam yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia. Teknik dan aksi penyeksaan ini direka untuk memalukan dan menakutkan tahanan supaya mendedahkan kekurangan dan memecahkan pertahanan mereka.

Walaubagaimanapun tidak dinafikan ISA juga turut berperanan menjaga keselamatan Negara. Antaranya telah membanteras kumpulan Darul Islam Sabah, penahanan individu yang terlibat dalam Pemalsuan wang syiling RM1, pemalsuan dokumen pengenalan, pemalsuan pasport rakyat China, penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), gerakan Militan Selatan Thailand,pejuang pemisah selatan Thailand dan Agen perisik asing.

Sememangnya ISA menyumbang kearah kebaikan dan keburukan. Tetapi apa yang dipersoalkan ialah kenapa kebanyakan mangsa tahanan ISA terdiri daripada mereka yang menentang kerajaan. Mungkinkah ada udang di sebalik batu?...

Posted by Mohd Hilmi bin Ibrahim on Sunday, July 19, 2009
categories: edit post

0 comments

Post a Comment